Buah-buahan Baik Ketika Hamil

MOMMA Pregolact

Sepanjang tempoh kehamilan, ibu perlu mengamalkan diet pemakanan yang sihat. Jenis makanan yang diambil haruslah segar dan berkhasiat agar bayi mendapat nutrien yang diperlukan untuk membesar dengan sempurna. Antara makanan yang amat digalakkan untuk diambil secara konsisten ialah buah-buahan. Selain tinggi dengan serat, buah-buahan juga mengandungi pelbagai vitamin yang diperlukan oleh ibu dan juga bayi di dalam kandungan.

5 jenis buah-buahan yang elok diamalkan sepanjang kehamilan:

  1. Kurma

Kurma mengandungi kalium, serat, mangan, fosfor, besi, magnesium dan kalsium. Zat besi pada kurma membantu membina hemoglobin di dalam tubuh ibu hamil dan dapat mengelakkan daripada berlaku Anemia. Kurma juga dapat mengelakkan berlakunya kejang di kaki. Selain dapat menguatkan dinding rahim, kurma amat berguna di trimester terakhir untuk memberi tenaga kepada ibu hamil terutamanya ketika saat melahirkan di hospital.

  1. Avocado

Selain bermanfaat bagi kesihatan kulit dan rambut, buah avocado mampu mencegah Spina Bifida pada janin. Buah ini mengandungi banyak zat dan vitamin yang diperlukan dalam pembentukan kolagen pada kulit. Avocado yang ternyata kaya dengan khasiat, mengandungi nutrisi zat besi, kalsium, fosfor, zodium, kalium, vitamin A, vitamin C, vitamin B kompleks dan vitamin E.

  1. Manggis

Buah manggis mengandungi kandungan vitamin C yang tinggi dan juga asid folik yang bermanfaat kepada perkembangan janin di dalam rahim. Ini dapat mengelakkan daripada berlaku kelahiran pramatang atau sebarang kecacatan berlaku.

  1. Buah naga

Buah naga mengandungi folat yang dapat membentuk sel darah merah di dalam tubuh sekaligus mampu mencegah penyakit Anemia. Kandungan karbohidrat yang agak tinggi dapat membekalkan tenaga kepada ibu hamil. Selain dapat mengelakkan daripada sembelit, buah naga juga mengandungi kalsium yang penting untuk membentuk tulang dan gigi bayi di dalam kandungan.

  1. Epal

Buah epal terkenal dengan kandungan vitamin yang tinggi, antaranya vitamin A, B1, B2, B3, B5, B6, B9 dan vitamin C. Selain kaya dengan anti-oksida, buah epal dapat membantu mengatasi masalah sembelit yang kerap dialami oleh ibu hamil serta mengurangkan risiko darah tinggi. Pengambilan buah epal pada setiap hari  boleh membantu perkembangan janin yang sihat, mengurangkan rasa mual di awal kehamilan dan mengelakkan masalah bengkak kaki di akhir kehamilan.

3 jenis buah-buahan yang patut dielakkan atau diambil dengan kuantiti yang sedikit:

  1. Durian

Durian mengandungi mineral dan vitamin yang sangat tinggi. Namun sayang, buah ini juga mempunyai sifat panas. Sekiranya diambil dengan jumlah yang berlebihan, dikhuatiri ibu hamil akan mengalami sakit kepala. Pengambilan buah durian secara berlebihan boleh mengakibatkan keguguran ketika di trimester pertama kerana ia dapat merangsang kontraksi untuk berlaku dan membahayakan janin.

  1. Betik muda

Buah betik muda mengandungi banyak lateks dan getah yang boleh mengakibatkan kontraksi pada rahim anda. Ia juga bahaya diambil dengan kuantiti yang banyak di awal fasa kehamilan kerana dikhuatiri akan mengakibatkan keguguran.

  1. Nanas

Buah nanas terkenal dengan sifatnya yang tajam. Kandungan zat bromelain yang sangat tinggi mampu melembutkan pangkal rahim anda dan mungkin menyebabkan terjadinya kelahiran pramatang. Buah nanas juga jika dimakan secara berlebihan boleh mengakibatkan kes keguguran di awal kehamilan.

Kami berharap dengan maklumat yang diberikan ini, kehamilan anda dapat dimaksimakan kepada kesihatan yang terbaik, untuk ibu dan juga bayi.