RM0 0
Cart

No products in the cart.

Memilih Makanan Bayi 6 Bulan Yang Betul

MOMMA Pregolact

Memilih makanan bayi 6 bulan yang betul amat penting kerana itu merupakan makanan pejal pertama yang bayi terima setelah menyusu susu badan secara eksklusif selama 6 bulan. Makanan pejal akan mempengaruhi banyak faktor tumbesaran yang berlaku terutama perubahan dalam sistem penghadaman bayi.

Makanan yang tidak sesuai mungkin mengakibatkan si manja sembelit dan berasa tidak selesa kerana makanan tidak dapat dicernakan dengan baik. Selain itu, makanan yang tidak dipilih dengan betul boleh menyebabkan keradangan atau alergi ke atas bayi terutamanya yang berkulit sensitif. Jadi pemilihan makanan yang betul amatlah kritkal dan memerlukan panduan yang tepat.

Bagaimana cara untuk mengetahui bayi sudah bersedia untuk menerima makanan pejal?

Jika bayi anda mempunyai ciri-ciri yang disenaraikan di bawah, bermakna si manja sudah bersedia untuk menempuh fasa yang baru ini:

  • Bayi mula membuat pergerakan mengunyah (ke atas dan ke bawah).
  • Bayi boleh duduk dengan sendiri tanpa memerlukan sokongan yang banyak.
  • Bayi suka memasukkan sesuatu ke dalam mulut dan menghisap jari.
  • Bayi menunjukkan minat pada makanan yang dimakan oleh ibu atau ahli keluarga yang lain.

Panduan memilih makanan bayi 6 bulan yang betul:

  • Pastikan umur bayi telah mencecah 6 bulan, kerana pada umur ini sistem penghadaman bayi telah bersedia untuk mencuba makanan baru.
  • Berikan makanan pejal 2-3 kali sehari. Biarkan bayi anda menentukan jumlah kuantiti makanan yang mereka mahukan. Berhenti apabila mereka sudah kenyang.
  • Pastikan tiada penambahan gula atau garamdi dalam makanan mereka.
  • Mulakan dengan makanan pejal yang dikisar menjadi puri bersama susu ibu. Buah-buahan dan sayur-sayuran amat sesuai untuk bayi terutamanya epal, pisang, labu, lobak merah, kentang, bayam dan brokoli.
  • Cuba setiap resepi selama 4-7 hari sebelum bertukar resepi lain bagi memastikan bayi anda betul-betul serasi dan tiada alergi terhadap makanan tersebut.
  • Elakkan buah-buahan masam atau berunsurkan sitrus seperti oren.
  • Untuk puri epal, elakkan dari menggunakan epal hijau. Carilah epal yang besar dan manis, yang kemudian di rebus menjadi lembut dan dilecek atau dikisar dengan susu ibu.
  • Untuk puri pisang, cari pisang yang manis dan masak dan jangan lupa untuk campurkan susu ibu untuk mengurangkan sifat lekit yang ada padanya.
  • Untuk puri betik pula, rasa manis semulajadi di dalamnya tidak memerlukan sebarang menambahan gula. Lecek betik tanpa perlu direbus dan gaul dengan susu ibu sehingga sebati.
  • Anda juga boleh mencampurkan beberapa jenis buah-buahan untuk kelainan yang mengujakan bayi anda.
  • Untuk fasa awal percubaan memberi makanan bayi berumur 6-7 bulan, elakkan makanan berunsur kekacang, telur, keju, daging merah dan makanan laut. Makanan-makanan ini berisiko tinggi untuk mengakibatkan alergi.
  • Bubur nasi cair, boleh mula diperkenalkan kepada bayi anda yang sudah meningkat umur 7 hingga 10 bulan sedikit demi sedikit. Berhenti memberi jika bayi mula menolak dan tidak mahu makan lagi.
  • Bubur nasi berlauk, samada ikan bilis, isi ayam atau sayur-sayuran, perlu dikisar atau dilenyek sempurna sebelum diberi kepada bayi.

Periksa najis bayi anda secara berkala dan sentiasa perhatikan tanda-tanda alergi seperti ruam pada kulitnya dalam tempoh awal ini. Tambah air dalam makanan dan berikan susu yang mencukupi untuk membantu proses penghadaman yang sempurna. Perhatikan juga penambahan berat badan bayi anda dari bulan ke bulan. Anak yang sihat itu bermula dari makanan yang berkhasiat. Selamat mencuba!

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    © 2023 MOMMA Industries Sdn. Bhd. (1136928-P). All rights reserved.