13 Pantang Larang Ketika Berpantang

MOMMA Pregolact

Orang Melayu sudah lama berpegang kuat dengan amalan berpantang selepas bersalin. Namun, amalan ini semakin kurang dipercayai atau diikuti oleh ibu muda dek kerana arus kemodenan dan ubat-ubatan serta rawatan moden. Amalan berpantang ini, dilakukan semata-mata untuk memberi hak kepada tubuh wanita selepas bersalin untuk kembali pulih seperti sedia kala.

Kami senaraikan beberapa cara berpantang orang lama dan manfaat disebaliknya untuk dipraktikkan demi kesihatan diri sendiri:

  1. Dilarang tidur tidak berbantal

Rasionalnya, tidur menggunakan bantal memberikan postur yang lebih baik kepada si ibu. Kedudukan kepala yang lebih tinggi daripada badan menyukarkan darah kotor atau angin naik ke kepala. Keadaan ini dapat mengelakkan ibu berpantang mudah terkena sakit kepala sepanjang berpantang.

  1. Memakai sarung kaki

Sarung kaki dan ibu berpantang tidak dapat dipisahkan. Selain mengelakkan badan daripada dimasuki angin dari bahagian kaki, stokin juga berfungsi untuk memanaskan kaki. Jadi, badan akan terasa lebih selesa dan terhindar dari sebarang penyakit.

  1. Jangan duduk mencangkung

Ada 2 risiko yang ibu berpantang perlu hadapi jika duduk mencangkung selepas bersalin. Pertamanya, akan mengakibatkan rahim jatuh atau terkeluar. Kedua, boleh memudaratkan luka yang baru dijahit kerana jahitan boleh terkoyak jika ibu bergerak terlalu aktif.

  1. Mandi duduk di atas bangku

Ibu yang dalam pantang disarankan untuk duduk di bangku ketika mandi selepas bersalin. Cara ini dapat mengelakkan ibu dari duduk mencangkung selain dapat membantu menjaga tahap kesihatan sistem peranakan dengan sempurna.

  1. Rapatkan kaki bila tidur

Jika tidur hendaklah merapatkan kedua belah kaki. Cara ini dapat mempercepatkan sistem peranakan untuk sembuh semula selain penggunaan bengkung pada setiap hari.

nak tambah susu badan

  1. Jangan terlalu aktif

Sebaiknya, ibu yang baru bersalin disarankan untuk tidak keluar dari bilik tidur selama seminggu atau dua minggu. Dapatkan pembantu, jika perlu, untuk membantu menguruskan bayi dan kerja rumah. Dengan cara ini, ibu berpantang dapat memulihkan tenaga yang telah hilang dan memberi ruang untuk badan berehat dengan sempurna.

  1. Jangan makan ubi-ubian

Ibu berpantang tidak dibenarkan memakan ubi-ubian seperti keladi, keledek dan ubi kayu kerana boleh mengganggu sistem pencernaan dan menyebabkan masalah kembung perut. Bayi yang menyusu juga mungkin berisiko untuk berhadapan masalah yang sama, jika ibu tidak menjaga pemakanan dengan betul.

  1. Jangan tidur di waktu matahari naik

Ibu dalam pantang tidak dibenarkan tidur di waktu matahari naik. Ini boleh menyebabkan badan ibu bertambah lesu dan sakit-sakit. Secara logiknya, bangun pagi itu menyihatkan tubuh. Namun, ibu digalakkan untuk tidur sebentar sebelum waktu zohor untuk mengumpul tenaga setelah penat berjaga di waktu malam.

  1. Jangan tidur waktu senja

Seeloknya jangan tidur di waktu senja untuk mengelakkan kepala berasa berat dan pening. Waktu ini adalah masa yang terbaik untuk membersihkan diri. Mandi pada waktu malam tidak digalakkan kepada ibu yang sedang berpantang kerana dikhuatiri sejuk angin malam akan masuk ke dalam tubuh.

  1. Jangan menjahit pakaian dan membaca

Ibu yang berpantang dilarang menjahit dan membaca. Secara logiknya, aktiviti tersebut memerlukan 2 kali ganda daya tumpuan daripada ibu yang fizikalnya masih lagi lemah. Hal ini membuatkan minda ibu cepat letih dan tidak fokus.

  1. Tidak boleh minum ais

Ini pantang yang paling besar untuk semua ibu bersalin. Air sejuk atau ais sama sekali tidak dibenarkan sepanjang tempoh 44 hari kerana ais boleh membuatkan badan menjadi lenguh dan sakit-sakit.

  1. Ibu jari tidak boleh terhantuk

Ibu jari kaki perlu dijaga dan diurus dengan rapi pada setiap hari. Jika terhantuk, darah beku mungkin berlaku dan boleh menyebabkan pitam atau bentan.

  1. Pantang 100 hari

Ibu digalakkan untuk berpantang 100 hari daripada mengadakan hubungan kelamin bersama suami. Pantang larang ini terbukti benar memulihkan sistem peranakan dan kesihatan ibu yang baru melahirkan.

Walaupun kepercayaan berpantang ini merupakan suatu tradisi yang menjadi ikutan turun-temurun, ia bukanlah menjadi kemestian yang wajib diikuti secara keseluruhannya. Sesuaikan dengan keadaan semasa. Jika ia bermanfaat untuk tempoh yang panjang, apa salahnya berkorban sekejap. Jika ia memudaratkan, maka tiada larangan untuk meninggalkannya. Tepuk dada, tanya kemampuan diri. Selamat berpantang dengan gembira semua!