Diet Ibu Menyusu

Diet dan susu ibu

Diet seorang ibu yang menyusu berkait rapat dengan nutrisi yang akan diberikan pada bayinya. Makanan yang dimakan oleh ibu menyusu akan diproses dan disalurkan pada bayi. Sebagaimana bayi mendapat zat dari makanan yang dimakan oleh ibunya semasa dalam kandungan, begitu juga bila bayi disusukan secara esklusif dengan susu ibu.

Penting bagi ibu menyusu untuk memahami bagaimana diet dan pemakanan sehariannya akan memberi kesan pada tumbesaran bayi. Ibu haruslah mengamalkan diet yang sihat dan mengelakkan dari makanan yang tidak baik untuk kesihatan. Malah, ada beberapa makanan yang dikatakan boleh memberi kesan kepada kuantiti susu yang dihasilkan.

Bukan mudah untuk menjaga pemakanan dengan ketat jika ibu menyusu mengambil keputusan untuk menyusu secara esklusif selama dua tahun. Namun, penting untuk ibu mempunyai ilmu pemakanan supaya dapat mempelbagaikan gaya pemakanan seimbang sepanjang penyusuan.

Ibu menyusu akan cepat berasa lapar, maka pengambilan makanan secara kerap dalam kuantiti yang berpatutan haruslah diamalkan.

Sumber Gambar: weightlossresources.co.uk

Pemakanan sesuai untuk diet ibu menyusu

Ilmu berkenaan pemakanan seimbang perlu ada untuk memaksimakan pengambilan zat dari makanan.  Ini kerana ada zat yang tidak perlu diambil secara berlebihan kerana boleh memberi kesan pada bayi atau pengeluaran susu. Pengambilan sayuran dan buah dalam bentuk asal adalah yang terbaik untuk ibu. Ini kerana zat dan nutrisi masih banyak dalam makanan itu.

  1. Air

Semasa menyusu, ibu akan hilang kandungan air dalam badan dengan cepat. Penambahan cecair dengan meminum air tidak bergula, sup dan jus buah-buahan dapat membantu menambah kandungan air dalam badan.

Air penting untuk ibu menyusu. Ini untuk mengelakkan dehidrasi dari penyusuan bayi dan sembelit. Kedua perkara ini adalah mimpi ngeri bagi ibu menyusu dan haruslah dielakkan.

Disarankan mengambil air sebanyak 3 liter air sehari. Jika bosan dengan air kosong, boleh diganti dengan beberapa gelas jus buah-buahan segar tanpa gula. Elakkan teh, kopi atau minuman beralkohol.

  1. Sayuran

Sayur-sayuran mempunyai zat dan serat yang diperlukan oleh ibu yang bersalin. Zat ini juga akan dibekalkan kepada bayi melalui susu ibu. Sayuran berwarna hijau juga sangat baik untuk ibu menyusu.

Sayur seperti bayam, brokoli, kangkung dan sawi mempunyai zat seperti kalsium, zat besi, vitamin A dan C. Ulam juga boleh dimakan kerana sayuran hijau yang segar mempunyai lebih banyak zat kerana kadangkala zat boleh hilang selepas dimasak.

  1. Buah-buahan

Buah-buahan penting kerana ia memberikan vitamin dan serat yang penting untuk ibu menyusu. Terdapat buah-buahan yang dapat membantu memulihkan luka bersalin dengan berkesan. Serat juga penting untuk ibu agar tidak sembelit.

Buah-buahan seperti epal dan pisang dapat memberikan tenaga dan mempunyai nilai serat dan antioksidan yang tinggi. Oren dan tomato mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi dapat membantu memulihkan luka bersalin.

Makan buah-buahan sebanyak dua hidangan setiap hari, samada dalam bentuk potongan atau jus. Jika membuat jus, elakkan menambah gula dan campurkan sedikit air supaya lebih mudah dikisar.

  1. Bijirin

Bijirin seperti beras, gandum, oats dan barli dapat memberikan zat yang baik untuk ibu menyusu. Zat seperti protein, zat besi, kalsium dan pelbagai vitamin dalam bijirin dapat membantu ibu dan bayi yang menyusu.

Pemakanan bijirin boleh dipelbagaikan. Oats boleh diminum bersama susu sebagai sarapan, beras perang untuk makan tengah hari, tepung gandum sebagai lempeng di waktu petang dan barli direbus dengan air dan diminum.

  1. Kekacang

Kekacang seperti badam, biji bijan dan gajus mempunyai zat penting seperti protein, kalsium dan zat besi. Kedua zat ini penting untuk tumbesaran bayi dan tubuh ibu menyusu. Kacang dhal dan soya juga baik untuk ibu menyusu.

Namun, terdapat ibu menyusu yang risau untuk mengambil kekacang dalam diet seharian kerana luka pembedahan mereka. Jika ini merisaukan ibu, boleh bertanya pada doktor sekiranya kekacang memberi kesan negatif pada ibu yang bersalin secara pembedahan.

  1. Ikan, ayam atau telur

Ikan mempunyai minyak Omega 3 yang penting untuk ibu dan membantu tumbesaran bayi. DHA di dalam Omega 3 memberi impak positif dalam pertumbuhan dan perkembangan sel-sel otak bayi. Antara ikan yang kaya Omega 3 adalah salmon.

Ikan sardin pula kaya dengan kalsium, penting untuk menguatkan tulang ibu dan tumbesaran tulang dan gigi bayi.

Telur kaya dengan vitamin D yang penting dalam penyerapan kalsium kedalam tulang dan gigi. Ia juga adalah sumber protein yang baik untuk menyembuhkan luka ibu bersalin. Telur mudah dimasak dan disediakan, boleh dimakan di waktu pagi sebagai sarapan, tengah hari atau malam.

  1. Produk tenusu

Produk tenusu seperti susu, keju dan yogurt adalah sumber kalsium yang baik untuk ibu dan bayi. Susu juga dapat memberikan cecair tambahan kepada ibu menyusu dan ini penting dalam penghasilan susu untuk bayi.

Menurut kajian, pengambilan susu dalam diet ibu menyusu dapat meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti susu ibu. Pastikan ibu mengambil susu setiap hari bagi menggantikan kalsium yang hilang dari badan.

cara banyakkan susu

Bagi seorang ibu menyusu, menghasilkan susu yang banyak adalah antara perkara yang setiap ibu mahukan. Namun, pastikan pengambilan makanan & minuman yang berkhasiat diambil setiap hari, bagi memastikan penghasilan susu badan yang lebih berkualiti untuk bayi anda.

Momma Industries

Author Momma Industries

More posts by Momma Industries

Leave a Reply