FREE SHIPPING OVER RM173 (Peninsular Malaysia)

LAST CALL: LOWEST PRICE GUARANTEE 50% OFF. EXPLORE

ACCOUNT

Bayi
Posted in

7 Cara Turunkan Demam Pada Bayi

Posted in

7 Cara Turunkan Demam Bayi

Kesihatan bayi adalah aspek penting dalam proses tumbesarannya. Selain memastikan bayi mendapat makanan berkhasiat dari diet sehariannya, ibubapa juga semestinya akan memerhatikan gelagat bayi dari hari ke hari. Jika ada sesuatu yang tidak kena dengan bayi, ibubapalah orang pertama yang akan menyedari perkara tersebut. Demam juga dapat dikenalpasti dengan pemerhatian berterusan dari ibubapa dan penjaga.

Tanda Bayi Demam?

Jika bayi menjadi letih, tidak bermaya, batuk atau selesema berpanjangan dan suhu badan meningkat, bayi itu mungkin mengalami demam. Cara paling mudah ialah dengan mengambil bacaan suhu badan bayi menggunakan meter suhu atau thermometer. Ibubapa juga boleh meletakkan belakang tangan di dahi, badan atau ketiak bayi untuk membuat anggaran suhu bayi meningkat lebih dari biasa.

Bagi bayi berumur bawah 4 bulan, penting untuk ibubapa dan penjaga berwaspada pada perubahan sikap dan gelagat bayi. Sila ke klinik atau hospital berdekatan dengan kadar segera jika bayi anda berumur kurang dari 4 bulan dan mengalami batuk, selesema atau demam. Ini kerana tubuh bayi masih lagi belum dapat membiasakan diri dengan dunia luar setelah 9 bulan dalam perut ibunya. Sistem dalam badan bayi belum matang dan tidak cukup kuat untuk melawan penyakit, walaupun batuk atau demam biasa. Jika suhu badan bayi ini meningkat sehingga 38°C, sila berjumpa doktor dengan kadar segera.

Kenapa bayi demam?

Demam dikenalpasti berlaku apabila suhu badan meningkat. Suhu badan meningkat adalah sebagai amaran dan tindakbalas dari tubuh yang menunjukkan bahawa ada serangan virus atau bakteria yang sedang berlaku pada sistem tubuh badan. Apabila tubuh dijangkiti virus atau bakteria, tindakbalas dari sistem imunisasi adalah dengan menaikkan suhu badan untuk memerangi jangkitan tersebut. Demam juga adalah cara semulajadi untuk sistem imunisasi belajar tentang virus atau bakteria tersebut, seterusnya membina dan menguatkan tubuh dari jangkitan dimasa akan datang.

Demam tidaklah semestinya sesuatu yang tidak baik. Memang merisaukan, tetapi ibubapa haruslah positif dan memahami bahawa demam adalah perkara semulajadi yang berlaku pada semua orang. Demam menunjukkan tubuh dan sistem imunisasi bayi berfungsi dengan baik. Sistem imunisasi yang kuat merupakan benteng melawan penyakit berjangkit yang ada diluar sana.

Apabila ibubapa dan penjaga bayi mendapati suhu badan bayi meningkat melalui sentuhan, pengesahan melalui meter suhu boleh dibuat untuk membuat agakan samada perlu untuk dibawa berjumpa doktor ataupun tidak. Purata suhu normal bayi adalah pada 36.7°C. Jika suhu badan bayi berumur 6 bulan keatas meningkat lebih dari 37°C dan tidak melebihi 39°C, boleh mencuba cara-cara dibawah untuk membantu bayi semasa dia demam. Jika suhu badan bayi berumur 6 bulan ke setahun melebih dari 39°C, sila berjumpa dengan doktor.

7 Cara Menurunkan Demam Bayi

  1. Pantau suhu bayi dengan kerap

Apabila melihat bayi kerap menangis tanpa sebab, batuk, kelihatan tidak selesa atau lemah, ibubapa boleh melihat suhu badan bayi sebagai tanda berjaga-jaga. Jika suhu melebihi paras normal seperti dinyatakan sebelum ini, bayi boleh diklasifikasi sebagai mengalami demam.

Suhu perlu dipantau dengan selalu untuk mengelakkan dari meningkat ke paras bahaya tanpa disedari. Lakukan ujian suhu dengan meter suhu setiap 4 jam sekali, termasuk di waktu malam. Terdapat meter suhu, atau thermometer, yang boleh diletakkan dibawah lidah, di telinga atau ketiak bayi. Dapatkan nasihat dari doktor atau pakar farmasi semasa membeli meter suhu. Dengan meter suhu, suhu badan dapat dipantau dengan lebih tepat.

 

  1. Letakkan kain basah pada bayi

Baringkan bayi dan letakkan kain basah didahi dan ketiak bayi. Rendamkan kain yang diperbuat dari kapas didalam air paip, perahkan dan letakkan didahi dan ketiak bayi. Tidak perlu gunakan ais atau air sejuk. Kain basah boleh juga diletakkan dibadan bayi untuk membolehkan panas dari dalam badan bayi keluar.

Ulang langkah ini bila kain basah didahi bayi tadi panas seperti badan bayi. Langkah ini boleh dibuat sekerap mungkin.

 

  1. Tidur didalam ruang bersuhu bilik.

Letakkan bayi didalam ruang yang bersuhu bilik, nyaman dan selesa. Pastikan kipas dipasang untuk angin yang nyaman dan pergerakan udara yang berkesan. Udara yang nyaman dapat membantu menurunkan suhu badan bayi, ditambah lagi dengan kain basah didahi dan ketiak bayi.

Suhu yang tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk dapat membantu mengurangkan suhu badan bayi. Buka tingkap dan pintu supaya pengaliran udara lebih lancar, nyaman dan udara segar dapat masuk dan menyegarkan bayi.

 

  1. Pakaikan pada bayi baju nipis

Pakaikan bayi yang sedang demam baju yang nipis dan diperbuat dari kapas. Jangan balut bayi kerana ini boleh menaikkan lagi suhu badan bayi. Jika bayi hanya memakai lampin, bolehlah diselimuti dengan selimut yang nipis. Ini memudahkan haba dalam badan untuk keluar, menurunkan suhu badan dan seterusnya menghilangkan demam bayi.

  1. Pastikan bayi menyusu dengan lebih dari selalu

Bayi yang demam harus diberikan makanan seimbang kerana dietnya dapat membantu mempercepatkan proses untuk sembuh. Susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi kerana susu ibu mengandungi imunisasi dari ibu. Pastikan bayi makan dan minum seperti biasa, dan lebihkan pengambilan cecair dalam bentuk susu.

Jika bayi sudah diberikan makanan pejal, berikan cecair tambahan dalam bentuk jus buah-buahan, sup sayur dan air. Cecair tambahan penting kerana semasa demam, banyak cecair dalam badan hilang. Ini juga dapat memastikan bayi tidak mendapat masalah lain seperti dihidrasi atau sembelit.

cara banyakkan susu

  1. Mandian span

Ibubapa dan penjaga juga boleh mencuba mandian berspan pada bayi yang sedang demam. Caranya lebih kurang sama seperti memandikan bayi seperti biasa, dengan menggunakan span. Span menyerap air dan lembut bila disapukan pada badan bayi.

Caranya adalah seperti berikut.

  • Masukkan air bersuhu bilik atau suam kedalam tab mandian bayi
  • Pastikan suhu air sesuai untuk bayi
  • Masukkan bayi kedalam tab mandian
  • Sapukan air perlahan-lahan di seluruh tubuh bayi
  • Selepas selesai mandi, lap dengan lembut tanpa mengeringkan air di badan bayi. Ini dapat membantu mengeluarkan haba dari badan bayi dan bayi lebih segar.
  1. Sentiasa pastikan bayi berada berdekatan

Pastikan bayi sentiasa ada berdekatan dan dibawah pengawasan seorang dewasa. Ini memudahkan ibubapa dan penjaga untuk memantau suhu, melihat pergerakan bayi dan berada berdekatan untuk mengambil tindakan seterusnya jika berlaku kecemasan. Ini juga memudahkan ibu dan bapa untuk membuatkan bayi selesa jika dia merengek kerana demam.

Bayi demam perlukan perhatian yang lebih dari biasa. Dapatkan pertolongan dari suami atau ahli keluarga sebagai sokongan dikala bayi sedang sakit dan memerlukan 120% perhatian. Tidur dalam kamar yang sama dengan bayi agar mudah untuk memantau keadaanya sepanjang hari, termasuklah diwaktu malam.

Bagaimana pula dengan ubat untuk bayi demam?

Preskripsi ubat hanyalah boleh diberikan oleh doktor yang bertauliah. Preskripsi ubat juga berkait rapat dengan umur bayi dan diagnosis yang diberikan oleh doktor. Terdapat ubat demam di pasaran seperti paracetamol dan ibuprofen, namun begitu, pastikan anda membaca arahan dan amaran yang terdapat pada kotak ubat.

Bayi berumur kurang dua bulan tidak disarankan diberikan paracetamol atau ibuprofen. Aspirin pula tidak sesuai untuk anak-anak berumur 16 tahun dan ke bawah. Dapatkan paracetamol and ibuprofen untuk bayi berumur lebih dua bulan dan keatas. Pastikan dos yang diberikan adalah tepat dan tidak berlebihan.

Jika ibubapa mempunyai anak yang lebih besar dari bayi dan sudah kesekolah atau tadika, sebaiknya jauhkan dari bayi yang demam. Ini kerana keadaan sistem imunisasi bayi yang demam sedang lemah, menyebabkan lebih mudah berjangkit pada penyakit lain yang mungkin dibawa oleh anak-anak lain.

Ibubapa juga digalakkan untuk membiarkan bayi berehat dirumah sehingga sembuh kerana jika terdedah pada bayi lain yang sihat, boleh berjangkit pada bayi yang sihat itu. Lebih parah, jika terdedah dengan penyakit berjangkit dibawa virus atau bakteria yang lebih kuat dari yang sedang dilawan oleh sistem imunisasi bayi sekarang.

Ibubapa tentulah mahu memberikan yang terbaik untuk bayi. Selain menjaga kesihatan fizikal bayi, sokongan moral juga dapat diberikan untuk membentuk hubunagn kuat antara ibubapa dan bayi. Ini termasuklah memberikan kata-kata semangat pada bayi seperti “adik kuat, boleh lawan demam ni!” atau “ibu ada disini untuk adik, adik lawan demam ini ya”.

Sentuhan fizikal dapat memberikan keselasaan dan keyakinan pada bayi yang dia ada sistem sokongan dari orang yang tersayang. Belai rambut bayi semasa dia tidur dan berikan urutan manja sewaktu memandikan bayi dapat menyalurkan kasih sayang secara fizikal.

Sekadar menenangkan hati ibu dan bapa apabila bayi demam, ketahuilah bahawa bayi anda sedang berusaha melawan jangkitan apabila dia demam. Ini adalah satu tanda sistem imunisasinya sedang berfungsi dalam membina benteng melawan penyakit dimasa hadapan.

Ada juga bayi yang demam apabila diberikan suntikan vaksin. Perlu difahami bagaimana vaksin adalah satu cara untuk mencapai imuniti berkelompok dapat mencegah virus dan penyakit berjangkit dari berlaku dalam masyarakat. Seperti yang dinyatakan diatas, demam walaupun selepas mendapat suntikan vaksin adalah salah satu tanda sistem imunisasi bayi sedang bekerja untuk melindungi bayi dari serangan penyakit dimasa akan datang.

Apabila bayi demam, bolehlah ibubapa atau penjaga mengambil langkah-langkah yang telah diberikan diatas. Untuk menjaga bayi yang demam, penjaga seperti ibu dan bapa juga haruslah mempunyai tahap kesihatan yang optimum. Sistem sokongan yang kuat dari keluarga dan orang sekeliling dapat memberikan ruang untuk ibubapa menjaga dan membesarkan bayi dengan sehabis baik. Ibubapa akan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga apabila bayi demam. Dengan sistem sokongan yang kuat, ibubapa dapat membantu bayi sihat dengan kadar segera.

Akhir sekali, bawa bayi berjumpa doktor jika demam berlanjutan, batuk teruk, suhu tidak menurun (malah semakin meningkat), bayi semakin lemah dan jika bayi tidak mahu makan atau minum. Dapatkan kepastian dari doktor tentang diagnosis terhadap bayi. Jika rasa kurang yakin, dapatkan pendapat kedua dan ketiga jika itu dapat menenangkan hati ibubapa.

Join the conversation

SHOPPING BAG 0