FREE SHIPPING OVER RM173 (Peninsular Malaysia)

LAST CALL: LOWEST PRICE GUARANTEE 50% OFF. EXPLORE

Perkembangan Bayi & Kanak-kanak

7 Ciri Anak Autisma

Apa itu autisma

Autisma, dari perkataan Greek “autos” yang bermakna “sendiri”, adalah satu sindrom kekurangmampuan dalam perkembangan atau “development disability”. Autisma merujuk kepada pelbagai keadaan yang dikategorikan sebagai kesukaran dalam komunikasi, hubungan sosial dan tingkah laku. Kepelbagaian ini juga membuatkan autism dikenali sebagai spektrum autism (autism spectrum).

Autisma merupakan gangguan pada proses pemikiran, mengakibatkan gangguan secara langsung pada komunikasi, tingkah laku dan hubungan sosial. Gangguan ini menyebabkan kesukaran dalam kominukasi secara lisan dan bukan lisan, interaksi dengan orang lain, dan kemampuan memahami isyarat dalam komunikasi dan interaksi sosial.

Mengenalpasti autisma pada kanak-kanak dengan cepat dapat membantu proses intervensi dilakukan dengan pantas. Intervensi awal pada kanak-kanak autisma terbukti berkesan dalam mempengaruhi tahap pembelajaran, hubungan sosial dan komunikasi mereka.

Autisma selalunya dapat dikesan pada umur 18 bulan ke atas dan hampir tiada kesan pada fizikal kanak-kanak ini. Ketiadaan tanda-tanda fizikal pada tubuh badan menyukarkan ibubapa untuk mengenali jika anak mereka berkemungkinan autisma.

Ibubapa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap tingkahlaku anak mereka kerana ciri-ciri anak autisma adalah melalui kesukaran komunikasi dan tingkahlaku yang dianggap luar dari kebiasaan.

7 Tanda Autisma

Autisma disebut sebagai spektrum kerana tiada satu set ciri atau tanda yang sama yang akan dialami oleh dua kanak-kanak autisma. Masa dan tahap suatu tanda hadir adalah mengikut kanak-kanak itu sendiri.

Ada kanak-kanak yang menunjukkan tanda seawal 12 bulan, dan ada juga yang membesar dengan normal sehingga mencapai satu peringkat umur (18 ke 24 bulan) di mana tumbesaran mental mereka seolah-olah terhenti dan ada kalanya kemahiran sosial mereka seakan hilang.

7 tanda berikut seharusnya memberikan petunjuk pada ibubapa yang anak itu mungkin menghadapi autisma. Perlu diingatkan bahawa ada di antara tanda ini yang dimiliki oleh kanak-kanak bukan autisma, dan tidak semua tanda-tanda ini dimiliki oleh anak autisma.

Terdapat pelbagai ujian lanjut yang akan dilakukan oleh pakar sebelum anak itu dikenalpasti sebagai autisma. Jadi ia amat penting bagi ibubapa untuk membawa anak yang mempunyai tanda dibawah berjumpa pakar untuk ujian lanjut.

  1. Tanda pada bayi mengikut umur
  • Pada umur 6 bulan, bayi tidak mempamerkan senyuman atau kegembiraan pada orang lain dan mempunyai sedikit atau tidak langsung memandang ke dalam mata ibubapa atau orang lain
  • Pada umur 9 bulan, bayi tidak menghasilkan sebarang suara, senyuman atau apa-apa komunikasi bukan lisan
  • Pada umur 12 bulan, bayi tidak mengeluarkan sebarang bunyi atau suara, tidak memberikan sebarang respon bila namanya dipanggil dan tidak menggunakan sebarang isyarat tubuh seperti menunjuk, melambai atau mencapai sesuatu.
  • Pada umur 16 bulan, tiada sebarang perkataan dikeluarkan
  • Pada umur 24 bulan, tiada perkataan atau gabungan perkataan yang mempunyai makna dihasilkan.
  • Kehilangan sebarang kemahiran komunikasi yang dipamerkan sebelum itu.

cara banyakkan susu

  1. Mengelak dari hubungan mata dan lebih suka menyendiri

Mereka tidak memandang mata sesiapa dan lebih suka menyendiri. Ini juga dapat dilihat pada kesukaran untuk bergaul dengan rakan sebaya lain. Kadangkala mereka seperti tidak menghiraukan keadaan sekeliling dan hanya fokus pada apa yang mereka minati.

Walaupun suka menyendiri, anak autisma tidak bermain permainan yang memerlukan mereka untuk memainkan peranan, atau role play. Jika ada, anak ini akan obsess dengan permainan itu dan mengulangi permainan yang sama dengan sangat kerap.

  1. Sukar memahami perasaan orang lain

Kurang empati pada orang lain dan sukar memahami perasaan orang lain walaupun bila diterangkan oleh orang dewasa. Mereka juga mempunyai respon berbeza dengan kanak-kanak lain. Kadangkala gelak dan ketawa tanpa sebarang sebab yang difahami orang lain kecuali dirinya.

  1. Tidak bercakap atau mempunyai kesukaran bercakap

Antara tanda awal pada anak autisma adalah apabila mereka lambat bercakap atau tidak bercakap langsung. Mereka juga kadangkala tidak memberikan respon apabila nama mereka dipanggil. Komunikasi lisan dan bukan lisan adalah antara perkara yang paling sukar untuk mereka.

  1. Suka mengulangi sesuatu perkara

Mereka suka mengulangi perkataan atau ayat yang sama (echolalia), tingkah laku yang sama dan pergerakan motor yang sama. Apabila arahan diberikan, mereka tidak memahami arahan itu dan meniru perkataan yang digunakan. Ada juga yang meniru ayat dan gaya orang lain.

Kanak-kanak autisma sukakan perkara, objek dan rutin yang sama. Mereka akan mempamerkan perasaan marah dan sedih apabila terdapat perubahan pada rutin harian atau keadaan sekeliling.

Antara tingkah laku yang sering menjadi pilihan adalah mengatur mainan dalam barisan, menggerakkan tangan dalam bulatan, berlari dalam bulatan dan memusingkan objek.

  1. Mempunyai minat yang sangat terhad dan melampau

Jika kanak-kanak lain mempunyai 5 patung kegemaran, kanak-kanak autisma mempunyai satu dan sangat obses dengan yang satu itu. Kadangkala obsesi itu pada sesuatu objek yang tidak masuk akal kerana objek itu tidak menarik minat kanak-kanak lain.

  1. Mempunyai reaksi atau tindakbalas yang melampau terhadap rangsangan pada deria.

Tindakbalas pada deria mereka sangat ekstrim, samada sangat kuat atau tiada rasa langsung. Sebagai contoh, ada kanak-kanak autisma yang tidak mahu dipegang kerana kulit mereka sangat sensitif. Pada skala 1 ke 10, sedikit sentuhan kulit pada skala 1 dikulit normal dirasakan seperti skala 10 dikulit anak autisma.

Inilah sebab mereka tidak mahu bersentuhan atau dipeluk oleh siapa pun. Cahaya lampu atau matahari, suhu panas atau sejuk, atau tekstur makanan amatlah penting pada anak autisma.

Ada juga anak autisma yang tiada respon. Kadangkala mereka jatuh dari buaian atau terhantuk, lalu meneruskan aktiviti seperti tiada apa yang berlaku. Jika skala kesakitan diletakkan dari 1 ke 10, mereka merasa sakit pada skala 1 manakala kanak-kanak lain sudah pasti menangis kerana merasa sakit pada skala 5.

Ini menjadikan mereka bahaya pada diri sendiri dan orang lain dan memerlukan pemerhatian sepenuh masa dari orang dewasa.

Mempunyai respon yang ekstrim bergabung dengan kurang kefahaman pada perasaan orang lain membuatkan mereka mungkin membawa bahaya pada diri mereka dan kanak-kanak lain. Anak autisma tidak faham kesakitan, kemarahan atau kesedihan rakan atau adik beradik mereka, lalu membawa kepada salah faham diantara kanak-kanak ini.

Kriteria yang digunakan sebagai diagnosis untuk anak autisma adalah seperti berikut:

  1. Kekurangan kemahiran komunikasi dan interaksi sosial yang berterusan

Satu kriteria yang ada pada anak autisma ialah apabila kemahiran komunikasi mereka mempunyai kelemahan atau kekurangan dan ini berlaku secara berpanjangan dan berterusan. Disinilah intervensi dapat dilakukan jika diagnosis diberikan dengan awal. Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah apabila

  • Anak kurang memberikan respon atau tindakbalas sosial normal seperti gagal membuat komunikasi dua hala dengan ibubapa, pendekatan sosial diluar normaliti dan tidak mahu berkongsi minat dan emosi.
  • Anak kurang memberikan respon bukan lisan yang selalu digunakan dalam komunikasi normal. Ini termasuklah kegagalan menyatukan respon lisan dan bukan lisan, enggan memandang tepat pada mata, kurang respon pada lenggok tubuh dan tidak memahami komunikasi bukan lisan (mengangguk atau menggeleng sebagai ya atau tidak).
  • Anak gagal menyesuaikan diri didalam konteks sosial yang baru atau lain dari yang selalu, tidak mahu atau sukar bergaul dengan rakan sebaya dan gagal bermain dengan permainan rekaan.
  1. Tingkah laku, minat atau aktiviti yang terbatas atau dilakukan berulang kali

Selain komunikasi, tingkah laku adalah kunci kedua yang diperhatikan sebagai kriteria anak autisma. Ini adalah antara kriteria yang awal yang dapat diperhatikan oleh ibubapa kerana ini dapat dilihat dari cara mereka bermain sebelum mereka belajar bercakap.

  • Pergerakan motor yang dilakukan berulang kali samada pada anggota badan atau alat mainan. Antaranya menyusun mainan dalam barisan, membalikkan mainan, mengulang perkataan atau arahan yang disebut (echolalia) atau mempunyai ayat atau perkataan yang tidak difahami oleh orang lain kecuali anak itu.
  • Mahukan kesamaan pada mainan, pakaian, makanan dan rutin. Mereka akan memprotes jika terdapat walau sedikit kelainan pada apa yang selalunya sama. Antaranya seperti jadual harian, makanan yang dimakan setiap hari pada waktu yang sama dan melalui jalan yang sama setiap hari.
  • Minat yang sangat terhad dan fokus yang luar biasa pada sesuatu benda, alat mainan atau cara mainan. Jika mereka sudah menetapkan yang suatu alat mainan atau objek adalah apa yang mereka mahukan, tiada yang dapat memisahkan mereka dari objek tersebut. Mereka akan merasa resah, sedih dan mengamuk jika objek atau ritual itu diambil atau diganggu.
  • Terlalu sensitive atau tiada rasa langsung terhadap deria mereka. Sebagai contoh, ada yang terlalu sensitif pada cahaya atau sentuhan menyebabkan mereka tidak mahu keluar rumah atau berpelukan kerana sentuhan atau cahaya berlebihan menyakitkan mereka. Ada juga yang tiada rasa pada deria mereka, seperti jatuh dari buaian dan berlalu pergi seperti tiada apa yang berlaku.
  1. Simptom muncul diawal pembangunan kemahiran kanak-kanak

Kebanyakan simptom autisma dapat dikesan pada awal pembangunan kanak-kanak, seawal 18 bulan. Ini kerana kebanyakan komunikasi bukan lisan dan lisan dapat dipelajari pada umur ini. Corak bermain juga dapat dilihat dari umur ini, termasuklah pergaulan dengan rakan sebaya. Lebih awal autisma dikesan dan didiagnos, lebih berkesan intervensi yang dapat diberikan oleh ibubapa.

 

  1. Simptom yang hadir memberikan kesan klinikal yang jelas pada fungsi kanak-kanak

Kesan yang diberikan seperti keengganan untuk bercakap (seolah-olah bisu) dan tiada respon pada bunyi (seperti pekak).

 

  1. Gangguan yang terjadi tidak dapat dijelaskan oleh ketidakupayaan mental lain

Simptom yang hadir tidak dapt dijelaskan oleh ketidakupayaan mental lain seperti ketidakupayaan intelektual (intellectual development disorder) atau kelewatan perkembangan (Global Development Delay, GDD) kanak-kanak.

Apa yang perlu dilakukan ibubapa jika anak mempunyai ciri autisma

Jika ibubapa mengenalpasti beberapa tanda yang dinyatakan ada pada anak, jangan sedih atau panik. Bawa anak anda berjumpa dengan doktor atau pakar kanak-kanak untuk ujian selanjutnya. Ada beberapa ujian lanjuta yang akan dilakukan oleh pakar sebelum diagnosis autisma diberikan. Usah risau, walaupun autisma akan bersama anak sepanjang hayatnya, terdapat pelbagai cara dan terapi yang dapat dilakukan untuk membantu anak menjalani kehidupan dimasa hadapan.

Ilmu dan kefahaman tentang pelbagai ketidakupayaan mental dapat membantu ibubapa bersedia menghadapi cabaran jika anak mempunyai autisma. Banyak bahan bacaan mengenai autisma dan pengalaman ibubapa terdahulu yang juga mempunyai anak autisma yang ada diatas talian. Anak autisma boleh dibantu dengan intervensi awal dan pendedahan serta kefahaman tentang autisma.

Terdapat terapi  yang disediakan untuk anak autisma. Antaranya adalah:

  • Terapi Carakerja

Terapi ini menumpukan pada tingkah laku dan daya kendiri anak autisma. Terdapat pelbagai cara, antaranya melatih anak autisma cara bergaul, bermain tanpa mengamuk, isyarat komunikasi dan latihan seperti bagaimana memandang pada mata orang lain.

Terapi daya kendiri pula adalah seperti kemahiran penjagaan diri seperti mandi, memakai baju dan kasut. Ini supaya mereka dapat menjaga diri sendiri dimasa akan datang, malah dapat bergaul dengan masyarakat dengan lebih mudah.

  • Terapi Intergrasi deria

Terapi ini memahami bagaimana deria anak autisma berfungsi, lalu melatih mereka untuk mengawal rangsangan yang mereka terima. Contohnya, jika kulit mereka sensitif pada sentuhan atau kain yang kasar, terapi ini dapat membantu anak autisma dan ibubapa untuk memahami sentuhan yang boleh diterima oleh anak autisma dan pakaian yang sesuai unutk mereka.

  • Terapi Pertuturan

Kesukaran yang dialami dalam komunikasi adalah pertuturan. Maka terapi pertuturan dapat membantu anak autisma untuk bertutur dan berkomunikasi dengan baik. Anak autisma akan dinilai oleh pakar pertuturan mengenai bahagian komunikasi yang perlu diberi perhatian.

Sebagai contoh, jika anak autisma mempunyai masalah kefahaman, pelat atau gagap, terapi pertuturan dapat membantu mereka. Aktiviti seperti cara lontaran dan sebutan, kedudukan lidah dan bibir, dan pelajaran melalui objek sekeliling dapat membantu anak autisma berkomunikasi dengan lebih berkesan.

Autisma tiada ubat kerana ianya bukan penyakit. Kesan gangguan pada proses pemikiran ini dapat dikawal dengan intervensi awal dan kefahaman ibubapa dan masyarakat sekeliling terhadap autisma. Malahan terdapat orang dewasa yang tidak tahu mereka mempunyai autisma, membesar dalam masyarakat biasa dan berfungsi dengan baik.

Ini dinamakan autisma berfungsi tinggi (highly functioning autism). Malah, kadangkala mereka dilihat sebagai cerdik pandai dan genius oleh masyarakat kerana melihat dunia dari sudut berbeza. Penting untuk ibubapa memahami bahawa anak autisma ini melihat, mendengar dan mengalami kehidupan dari pandangan yang sangat berbeza apabila melayan anak mereka.

Dengan fahaman ini, ibubapa dapat membantu anak autisma dengan lebih baik.

Join the conversation

SHOPPING BAG 0