Free Delivery for Orders More than RM100!
Petua & Nasihat

4 Tips Suami Menjaga Emosi Ibu Hamil

tips suami isteri

MOMMA Pregolact

Hari ini kami bawakan beberapa tips kepada para suami untuk menjaga hati dan emosi ibu hamil. Seperti yang kaum Adam sedia maklum, setiap kali isteri anda mengandung, emosi ibu hamil pasti berubah-ubah. Sekejap gembira, sekejap murung, sekejap lagi marah-marah. Hal ini disebabkan oleh perubahan hormon yang sedang berlaku di dalam dirinya.

Apatah lagi, untuk isteri yang sedang berperang dengan fasa kehamilan trimester pertama. Badan si isteri masih lemah, dan sekiranya emosi ibu hamil tidak dibelai dengan baik, mereka umpama bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa sahaja. Jadi para suami perlulah berwaspada dan berjaga-jaga dengan emosi isteri anda.

Jom baca tips yang disediakan!

  1. Ringankan tulang di rumah

Rajinkan diri anda untuk turun ke dapur dan menguruskan anak-anak lain yang masih kecil. Jika sebelum ini, isteri anda menggalas tugas ini sepenuh masa, di saat istimewa 9 bulan 10 hari ini, berikan ruang untuk dia rehat dan kurangkan bebanan kerja rumah yang perlu dilalkukannya.

Bebanan isteri anda membesarkan zuriat di dalam perut, bukanlah sesuatu yang mudah. Si isteri berhadapan dengan pelbagai alahan dan penyakit ketika mengandung, apatah lagi saat melahirkan. Bantuan anda di rumah pasti akan membuatkan dia tersenyum girang. Sungguhpun tidak pernah meminta, jauh di sudut hati ia adalah bantuan yang amat isteri anda nanti-nantikan.

  1. Berikan hadiah

Cuba berikan hadiah makanan atau minuman kegemaran isteri anda. Apa salahnya sesekali anda bancuhkan air untuk dihidangkan kepada isteri tercinta. Dalam kelesuan melawan muntah dan alahan hari-hari, secawan air panas pasti membuat hati isteri berbunga-bunga sekaligus menyejukkan emosi ibu hamil ini. Tak pandai buat air atau masak, beli di luar pun tidak mengapa. Tidak perlu hadiahkan bunga yang mahal. Apa sebenarnya yang didambakan oleh isteri ialah perhatian dan kasih sayang tulus ikhlas dari suami yang prihatin.

  1. Belai dan manjakan isteri

Di awal kehamilan, isteri akan mengalami muntah-muntah yang teruk. Ini adalah untuk membersihkan tubuhnya dari toksin yang merbahaya kepada bayi. Suka atau tidak, ia menyakitkan dan membuatkan si isteri terlantar keletihan. Badannya akan mudah dimasuki angin dan alahan ini berterusan sehingga masuk trimester kedua. Ia satu marathon yang panjang. Ada kes dimana ibu hamil yang perlu dimasukkan ke dalam wad kerana kehilangan air yang banyak dari tubuh.

Peluk isteri anda untuk tenteramkan emosi ibu hamil ini. Tolong jika dia sedang bertarung mengeluarkan muntah di bilik air. Urut belakangnya dengan perlahan. Bantu sapukan minyak panas di bahagian badan yang isteri rasakan perlu. Isteri anda sedang memperjuangkan nyawa zuriat anda di dalam rahimnya. Ia perjuangan dua nyawa. Hargailah si isteri. Apa yang dilalui tidak mungkin anda dapat tukar ganti. Maka, permudahkanlah urusan isteri anda, bantulah apa-apa yang patut. Jika tidak pandai, belajarlah perlahan-lahan.

  1. Jangan lupa berdoa

Selesai solat, jangan lupa untuk mendoakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik untuk bayi dan isteri anda. Baca doa anda kuat-kuat agar isteri dan anak-anak lain dapat mengaminkan sama. Bayangkan wajah isteri anda di dalam doa. Sedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran kepada bayi dan isteri yang sedang mengandungkan.

Doa-doa ini pasti membuatkan hati isteri anda lebih sejuk dan terharu mempunyai suami yang bertanggungjawab seperti anda. Emosi ibu hamil ini juga akan sentiasa tenang. Sesungguhnya, Al-Quran itu terkandung semua penawar penyakit yang ada di dunia. Mudah-mudahan, ayat yang kerap dibacakan itu membantu menenangkan rohani isteri anda sekaligus melahirkan zuriat yang diredhai Allah.

Apa jua usaha yang anda cuba lakukan, buatlah dengan ikhlas dan hati yang terbuka. Redha dan maafkan isteri anda yang sedang hamil dan kepenatan. Jagalah emosi ibu hamil kerana isteri yang gembira, pasti melahirkan anak yang ceria. Cubalah buat isteri anda tersenyum hari-hari, anda mungkin bakal mendapat anak yang comel nanti!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *