FREE SHIPPING OVER RM173 (Peninsular Malaysia)

LAST CALL: LOWEST PRICE GUARANTEE 50% OFF. EXPLORE

Penyusuan

Bengkak Susu | Cara Mencegah dan Merawat

bengkak-susu-reda-dengan-menyusukan-bayi

Menurut kaunselor laktasi, bengkak susu atau breast engorgement adalah keadaan normal yang selalu dialami oleh ibu-ibu yang baru melahirkan anak.

Dalam tempoh 2-5 hari selepas bersalin, jumlah susu badan yang terhasil menjadi semakin bertambah dan menyebabkan payudara anda cepat penuh atau bengkak susu.

Bayi selalunya akan berhenti menyusu apabila sudah berasa kenyang. Meskipun begitu, penghasilan susu yang cepat di awal minggu berpantang menyebabkan payudara menjadi cepat bengkak dan keras sekiranya susu yang terkumpul tidak dikeluarkan segera.

bengkak-susu-reda-dengan-menyusukan-bayi

Payudara yang telah penuh dengan susu akan terasa berat dan sedikit keras. Itu menandakan ibu perlu segera mengosongkan payudara sama ada dengan cara memberi bayi minum susu dengan lebih kerap atau mengeluarkan susu menggunakan pam.

Jika anda membiarkan payudara menjadi terlalu penuh, bengkak susu akan berlaku.

Masalah ini kerap menjadi kerisauan ramai ibu terutamanya bagi ibu yang pertama kali melahirkan anak.

Apabila anda kerap menyusukan bayi dan badan sudah mula menyesuaikan diri dengan keperluan susu yang diperlukan bayi, situasi bengkak akan beransur-ansur hilang. Jadi anda tidak perlu risau!

Di awal tempoh penyusuan, bengkak boleh melarat jika dibiar berlarutan tanpa apa-apa tindakan awal. Ia boleh menjejaskan kesihatan ibu itu sendiri dan menyukarkan bayi untuk menyusu secara terus.

Bertindaklah seawal yang boleh bagi mengelakkan masalah bengkak daripada menjadi bertambah teruk.

Simptopm lain akibat masalah ini ialah ia boleh menyebabkan badan anda berasa kurang selesa, cepat letih dan sedikit demam.

Di bahagian payudara pula, anda boleh melihat beberapa perubahan yang ketara seperti di bawah:

  • Payudara anda menjadi besar, bengkak, terasa berat dan lebih panas daripada kebiasaannya
  • Kalenjar di bawah ketiak anda terasa sedikit bengkak dan membuatkan anda kurang selesa
  • Puting payudara anda kelihatan rata dan kawasan di sekeliling areola mengeras

Menyusukan bayi adalah langkah terbaik bagi meredakan masalah bengkak susu dengan cepat.

Tetapi, masih ramai ibu tidak mempunyai pengetahuan asas penyusuan susu ibu yang kuat. Terdapat banyak kejadian di mana ibu berdepan dengan kesukaran untuk menyusukan bayi menggunakan cara yang betul.

Baca: Diet Setiap Ibu Menyusu Wajib Tahu

Antara penyebab kesukaran tersebut adalah teknik lekapan dan posisi bayi yang salah semasa menyusukan bayi.

Apabila bayi anda tidak berjaya menyusu, sudah pasti ibu akan berasa tertekan dan terpaksa menanggung sakit akibat bengkak susu akibat payudara yang tidak dapat dikosongkan sepenuhnya.

Kaedah Pencegahan

Payudara yang mengeras dan bengkak menandakan kilang susu sedang giat menghasilkan susu untuk keperluan si manja anda. Itu merupakan petunjuk yang baik!

Namun begitu, jika dibiarkan terlalu penuh, payudara anda boleh menjadi terlalu bengkak, mengeras dan sakit apabila disentuh.

Keadaan ini menyebabkan anda berasa sangat tidak selesa lebih-lebih lagi apabila ia berpanjangan. Dalam pada masa yang sama, emosi anda juga boleh terganggu.

Perlu diketahui bahawa bengkak susu yang teruk boleh menganggu proses lekapan dan menyukarkan bayi untuk menyusu.

Akibat daripada bengkak susu yang teruk adalah:

  • Bayi anda tidak mendapat susu yang cukup dan kerap menangis kerana lapar
  • Payudara anda tidak dapat dikosongkan sepenuhnya melalu penyusuan
  • Bengkak susu yang teruk menyebabkan puting anda luka dan pedih
  • Berlakunya saluran susu disekat yang boleh menyebabkan jangkitan pada payudara iaitu Mastitis

Doktor atau jururawat sangat menggalakkan ibu-ibu untuk menyusukan bayi buat pertama kali sebaik sahaja melahirkan.

Semasa sesi skin-to-skin contact atau juga dikenali dengan Kangaroo Care, bayi dapat menyesuaikan dirinya dengan keadaan baru di luar rahim dan menggunakan naluri semulajadinya untuk mengesan payudara, melakukan lekapan lalu menyusu.

Sekiranya bayi anda menyusu dengan baik semasa sesi tersebut, risiko untuk mendapat bengkak susu dapat dikurangkan.

Hal ini kerana penyusuan dengan teknik lekapan yang betul dan kerap memudahkan payudara anda dikosongkan sepenuhnya.

Namun, jika bayi anda masih belum berjaya, usah berputus asa. Teruskan mencuba!

cara-banyakkan-susu

Berikut adalah tindakan yang boleh anda ambil bagi mengelakkan bengkak susu daripada berlaku:

  • Jangan terlalu awal untuk memperkenalkan botol susu dan puting kepada bayi anda semasa dia masih sedang belajar untuk menyusu dengan baik kecuali atas nasihat doktor
  • Kerapkan sesi penyusuan. Berikan susu kepada bayi anda sekurang-kurangnya 8 kali dalam tempoh 24 jam termasuk pada waktu malam bagi mengelakkan payudara terlalu cepat penuh
  • Biarkan bayi puas menyusu dulu sebelum anda memberinya payudara yang sebelah lagi. Jangan hadkan masa untuk bayi menyusu supaya payudara anda dapat dikosongkan sepenuhnya
  • Jika anda menghadapi kesulitan berkaitan teknik lekapan yang betul, cuba dapatkan bantuan daripada perunding laktasi yang bertauliah agar masalah lekapan tersebut dapat diselesaikan segera
  • Sekiranya anda terlepas jadual penyusuan atau bayi berhenti menyusu sebelum payudara kosong sepenuhnya, lakukan ekspresi tangan atau guna pam untuk mengeluarkan susu tersebut. Usah biarkan payudara terlalu penuh dan bengkak dalam tempoh yang lama

Apabila anda sedang berdepan dengan bengkak susu, rawatlah masalah ini dengan segera tanpa berlengah-lengah.

Terdapat beberapa cara untuk merawat bengkak susu daripada menjadi semakin teruk:

  • Ambil masa tidak lebih dari 5 minit untuk mandi air panas bagi melancarkan pengaliran susu sebelum menyusukan bayi. Semasa mandi alirkan air panas pada bahagian payudara anda yang bengkak dan urut dengan lembut menggunakan tangan
  • Bungkus ice pack atau beberapa ketul ais menggunakan tuala kecil. Kemudian, lakukan tuaman pada payudara selama lebih kurang 10 minit selepas selesai sesi penyusuan bagi meredakan bengkak
  • Apabila bayi anda berhenti sebentar semasa sesi penyusuan, cuba urut dan tekan payudara dengan perlahan untuk memaksa susu keluar. Teknik ini boleh membantu anda untuk mengosongkan payudara sepenuhnya
  • Pemilihan bra menyusu yang betul dan sesuai juga sangat penting ketika anda sedang mengalami bengkak susu. Seeloknya pilihlah bra menyusu yang boleh meregang dan mempunyai ciri sokongan yang baik supaya payudara anda selesa dan tidak terlalu sendat. Anda juga digalakkan memakai baju yang diperbuat daripada fabrik lembut dan sedikit longgar
  • Baring dan letakkan sebelah tangan anda di bawah kepala. Kemudian, gunakan minyak zaitun atau minyak kelapa dara untuk mengurut payudara anda bermula dari bahagian puting hingga ke arah ketiak. Lakukan urutan dengan lembut dan perlahan-lahan menggunakan tangan untuk meningkatkan pengaliran susu yang sekaligus dapat mengurangkan bengkak pada payudara anda
  • Sebelum memulakan sesi penyusuan, cuba lakukan ekspresi tangan atau gunakan pam untuk melembutkan puting dan aerola supaya bayi dapat melekap dan menyusu dengan lebih baik. Cara ini juga sangat membantu apabila anda perlu meredakan saluran susu yang tersekat.
  • Jika payudara terlalu bengkak dan sakit, lakukan ekspresi tangan sehingga susu perlahan-lahan keluar. Selepas berasa selesa dan kurang sakit, barulah anda boleh memerah menggunakan tangan atau pam

Usah jadikan bengkak susu sebagai batu penghalang untuk menyusukan anak kesayangan anda. Cegah dan rawatlah ia secepat yang mungkin sebelum menjadi lebih teruk.

Join the conversation

SHOPPING BAG 0